Wednesday, May 5, 2010

TANGGUNGJAWAB SOSIAL INDUSTRI AUTOMOBIL TEMPATAN AMAT MEMBIMBANGKAN

Banyak aduan diterima tentang pengeluar dan penjual kereta tempatan yang memberikan gagal memberikan khidmat selepas jualan yang baik kepada pelanggan mereka. Apabila masalah pelanggan itu diajukan kepada bahagian khidmat pelanggan, mereka gagal memberikan maklum balas pada masa yang ditetapkan. Jika tindakan diambil berdasarkan aduan tersebut, kerja-kerja pembaikan tidak memuaskan.

Pelanggan memberikan maklum balas yang negatif terhadap perkhidmatan syarikat pengeluar dan pengedar kereta ini.
Kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan dan masalah kereta baru yang mengalami kerosakan perlu diberikan perhatian serius oleh syarikat pengeluar dan pengedar kereta. Banyak wang dibelanjakan oleh pengguna untuk membeli kereta, tetapi mereka tidak mendapat nilai barang yang setimpal. Hak pengguna dalam urusan jual beli kereta seolah-olah langsung tidak terjamin dan kepentingan hak pembeli atau pengguna juga tidak diberi penekanan serius daripada pihak syarikat syarikat tempatan.

Dalam urusan jual beli produk yang melibatkan nilai yang kecil, pengguna berhak dan juga mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan pulangan wang ataupun penukaran barang sekiranya rosak. Namun apabila ia melibatkan urusan jual beli yang mahal, pengguna tidak mempunyai perlindungan yang sewajarnya.

Pengguna dibiarkan begitu saja dengan kereta yang sering kali rosak dan bermasalah tanpa penukaran ataupun pulangan wang. Adakah industri tempatan masih tidak pasti dengan kualiti mereka sendiri ataupun tidak bersedia memberi jaminan kepada kualiti mereka?

Pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan seperti yang dijanjikan dan juga dalam kualiti yang munasabah atau sesuatu produk yang berada dalam kualiti dagang.

Berikut adalah peruntukan undang-undang berkaitan dengan kualiti produk.

Seksyen 16. Syarat tersirat mengenai kualiti dan kelayakan. (AKTA JUALAN BARANG 1957)

(1) Tertakluk kepada Akta ini dan bagi mana-mana undang-undang lain semasa dikuatkuasakan, tidak ada waranti atau syarat tersirat mengenai kualiti atau kelayakan bagi apa-apa maksud tertentu bagi barang-barang yang dibekalkan di bawah suatu kontrak jualan kecuali sebagai berikut -

(a) Jika pembeli secara nyata atau tersirat memberitahu penjual maksud tertentu bagi barang-barang yang diperlukan, untuk menunjukkan bahawa pembeli bergantung kepada kepakaran atau penghakiman penjual, dan barang-barang adalah daripada perihalannya dalam penjalanan urusan penjual untuk membekalkan (sama ada dia adalah pengilang atau pengeluar atau tidak) terdapat suatu syarat tersirat bahawa barang-barang hendaklah secara munasabahnya layak untuk maksud itu:

Dengan syarat, dalam kes suatu kontrak bagi penjualan suatu barang khusus di bawah hak cipta atau nama dagangan lain tidak terdapat syarat tersirat lain mengenai kelayakan bagi apa-apa maksud tertentu.

(b) Jika barang-barang dibeli melalui perihalan daripada seseorang penjual yang menjual barang-barang daripada perihalan itu (sama ada dia adalah pengilang pengilang atau pengaluar atau tidak) terdapat suatu syarat tersirat bahawa barang-barang itu hendaklah daripada kualiti boleh dagang:

(2) Suatu waranti atau syarat tersirat mengenai kualiti atau kelayakan bagi suatu maksud tertentu boleh ditambah dengan penggunaan tred.


Industri kereta tempatan hendaklah memberi perhatian yang lebih serius kepada kualiti dan pengguna. Sekiranya sesebuah kereta baru yang mengalami masalah dalam tempoh yang singkat, maka ia harus melayakkan pengguna untuk mendapatkan penukaran kereta baru sebagai jaminan kualiti dan bukannya membaikinya berulang kali.

Kerajaan juga disarankan supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membuat kajian dan mendengarkan kes-kes yang melibatkan industri automotif agar masalah pengguna mendapat pertimbangan dan keputusan yang sewajarnya dalam kes-kes sedemikian. Ini disebabkan pengguna tidak dapat membawa kepada Tribunal (melebihi jumlah bidang kuasa RM 25, 000) dan juga tidak mampu membawa kes tersebut ke Mahkamah.

No comments:

Post a Comment