Wednesday, May 5, 2010

HENTIKAN PENJUALAN PERALATAN ELEKTRIK TIDAK CEKAP TENAGA SECARA BERPERINGKAT

Pengguna perlu mendapat pilihan peralatan elektrik yang lebih baik untuk mengurangkan bil elektrik mereka. Namun begitu, adakalanya mereka tidak dapat berbuat demikian kerana harga peralatan elektrik yang cekap tenaga adalah mahal.

Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) telah mengutarakan cadangan supaya penjualan lampu jenis pijar di pasaran dihentikan secara berperingkat. Ini merupakan langkah pertama dan perlu disusuli dengan pemberhentian penjualan peralatan elektrik membazir tenaga yang lain. WECAM gembira dengan kerajaan telah menerima cadangan ini.
WECAM juga merupakan ahli kumpulan di bawah Suruhanjaya Tenaga yang akan melaksanakan pemberhentian penggunaan lampu pijar. Kami berharap perlaksanaan yang lancar dapat membantu pemberhentian penjualan peralatan elektrik yang membazir tenaga yang lain dalam masa terdekat.

Harga lampu pijar hampir 10 kali lebih murah daripada Lampu Kalimantang Termampat (CFL). Walau bagaimanapun, kadar hayat purata CFL antara 8 hingga 15 kali lebih tinggi daripada lampu pijar. Ini bermaksud dalam masa 5 tahun, secara purata 1 lampu CFL boleh digunakan berbanding hampir 10 lampu pijar.

Kos pembelian adalah hampir sama dalam masa 5 tahun. Dalam konteks penjimatan kos bagi 10 lampu bagi 5 tahun, kita dapat lihat lampu CFL 15 Watt memberikan kos elektrik sebanyak RM 358 berbanding lampu pijar 75 Watt sebanyak RM 1790 jika digunakan bagi tempoh 6 jam sehari. Kita dapat menjimatkan RM 1432 dalam masa 5 tahun. Anda boleh menggunakan kalkulator membandingkan kecekapan tenaga di www.switch.org.my untuk mengetahui secara lanjut.

Dalam jangkamasa panjang, semua peralatan elektrik cekap tenaga dapat mengurangkan kos operasi peralatan. Ini merupakan perbandingan yang selalu tidak diendahkan oleh pengguna apabila membeli peralatan elektrik.

Mengenai isu pengurusan sisa CFL, WECAM juga telah mengemukakan masalah ini kepada Suruhanjaya Tenaga. Kita akan melihat kepada kaedah pengambilan balik dan kitar semula yang efektif. Ini bukan sistem yang baru, tetapi kita perlu merujuk kepada model yang sesuai dengan keadaan di Malaysia. Jabatan Alam Sekitar juga akan turut terlibat dalam memastikan sistem kitar semula yang sesuai.

Di sebabkan harga CFL yang tinggi, WECAM telah mencadangkan bantuan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah melalui syarikat bekalan elektrik atau koperasi. Ini dapat membantu mereka membeli lampu CFL dan membayar secara ansuran melalui bil elektrik mereka. Model yang lebih terperinci juga dikaji oleh kumpulan kerja ini. Sebenarnya, model seperti ini telah berjaya dilaksanakan di beberapa buah negara. Tambahan pula, syarikat pengeluar CFL tidak akan mempunyai persaingan yang jauh lebih murah. Maka, mereka juga perlu mengurangkan kos produk mereka.

Kita perlu lihat langkah ini sebagai satu langkah untuk membantu pengguna di Malaysia menjadi lebih cekap tenaga, layari www.switch.org.my untuk mendapatkan lebih banyak maklumat bagaimana anda boleh melakukan langkah-langkah ringkas untuk menjadi cekap tenaga.

No comments:

Post a Comment