Wednesday, May 5, 2010

MASIH RAMAI YANG TERJEBAK DENGAN SKIM CEPAT KAYA

Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa seramai 150,000 orang pelabur telah mengalami kerugian sebanyak RM300 juta akibat daripada melabur dalam Skim Cepat Kaya semenjak bulan Januari 2009 sehingga akhir April 2010.

Biarpun orang ramai telah lama dinasihatkan tentang bahaya sekiranya mereka terlibat dengan skim cepat kaya namun masih ramai lagi yang ingin terlibat dan akhirnya terjebak dengan skim ini.


Jelaslah bahawa rakyat Malaysia masih tidak serik dengan pelbagai bentuk penipuan skim cepat kaya. Mereka dengan mudah percaya dengan dakyah yang dibuat oleh penganjur skim cepat kaya ini sehingga rela mengeluarkan wang beribu-ribu ringgit demi untuk mendapatkan pulangan yang dikatakan besar itu.

Tindakan Bank Negara Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat dan individu-individu yang terlibat dengan skim ini di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram amat dialu-alukan. Tindakan yang tegas juga perlu diambil terhadap mereka yang tbersubahat mengajak orang lain untuk terlibat dengan skim ini agar mereka serik untuk berbuat sedemikian pada masa akan datang.

Selain itu, baru-baru ini media telah melaporkan seramai 1,000 orang pelabur telah mengalami kerugian sebanyak RM17 juta akibat daripada kegagalan sebuah agensi syarikat jualan langsung mengagihkan keuntungan sebagaimana yang dijanjikan.

Ini menunjukkan bahawa individu yang terlibat di sebalik agensi jualan langsung telah mengutip wang daripada para pelabur dan menawarkan pulangan tertentu kepada mereka. Apabila kegiatannya terbongkar, dia tidak dapat memberikan pulangan kepada para pelaburnya.

Para pengguna perlu mengambil iktibar daripada kerugian yang ditanggung oleh mereka yang terjebak dengan skim cepat kaya ini. Mereka perlu mempunyai pertimbangan yang waras apabila ingin melaburkan wang mereka. Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan pulangan yang besar daripada pihak-pihak yang tidak tentu jenis perniagaannya.

Buat semakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan syarikat tersebut mendapat kelulusan untuk beroperasi. Lebih selamat jika melaburkan wang dalam skim pelaburan yang dianjurkan oleh kerajaan kerana ia dijamin oleh kerajaan jika berlaku sebarang masalah.

No comments:

Post a Comment