Wednesday, May 5, 2010

KECEKAPAN SISTEM PENGANGKUTAN AWAM SEOLAH-OLAH MIMPI DI SIANG HARI

Pernahkah anda terlintas untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pergi ke sesuatu destinasi?

Ini mungkin merupakan persoalan yang kurang diberikan perhatian. Namun yang pastinya ketidakcekapan sistem pengangkutan awam yang sedia ada merupakan faktor utama orang ramai memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri.
Kelemahan sistem pengangkutan awam di Malaysia bukan sahaja terhad di bandar raya-bandar raya utama sahaja, malah turut berlaku di kawasan bandar dan luar bandar.

Masalah berkaitan dengan perkhidmatan pengangkutan awam bukanlah perkara yang baru. Setiap tahun kerajaan membuat kenyataan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Tetapi tahun demi tahun isu tersebut masih menjadi tanda tanya sama ada kerajaan serius dalam menangani masalah tersebut ataupun ia merupakan sesuatu isu yang tiada jalan penyelesaiannya. Seolah-olah kerajaan menghadapi jalan buntu untuk menyelesaikan masalah yang merupakan salah satu keperluan asas rakyat di negara ini.

Setiap kali kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan harga minyak, salah satu isu yang akan menjadi fokus utama ialah menaiktaraf sistem pengangkutan awam yang sedia ada, agar rakyat akan lebih bersedia menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif. Warga kota pula perlu mengeluarkan wang tambahan untuk membayar tempat letak kereta.

Penyedia perkhidmatan pengakutan awam seperti syarikat-syarikat bas, teksi dan tren akan mengambil kesempatan sebaik sahaja harga minyak naik untuk menaikkan harga tiket di atas alasan kos bahan api dan pada masa yang sama janji untuk menyediakan perkidmatan yang lebih baik.

Perkhidmatan pengangkutan awam adalah isu awam dan kelemahan sistem pengakutan awam haruslah diberikan tumpuan yang lebih serius. Pengguna hendaklah menggunakan kuasa mereka untuk memberikan maklum balas terhadap perkhidmatan yang tidak memuaskan. Ia juga merupakan salah satu hak pengguna untuk menyuarkan rasa tidak puas hati.

Pengguna juga perlu bahawa ialah isu perkhidmatan awam adalah melibatkan semua pihak. Oleh itu, mereka perlu tampil ke hadapan untuk menyalurkan maklumat seperti membuat aduan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), yang akan mewakili pengguna menyuarakan isu yang menekan para pengguna ini.

Tahun 2020 merupakan tahun amat bermakna bagi setiap rakyat Malaysia. Persoalannya, adakah kita bersedia menyambut wawasan 2020 tersebut? Kecekapan pengangkutan awam adalah keperluan asas bagi setiap pengguna.

No comments:

Post a Comment