Wednesday, May 5, 2010

SELAMATKAH TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK DI KAWASAN RUMAH ANDA?

Taman permainan dan aktiviti luar semangnya suatu perkara yang menyeronokkan serta boleh dikatakan sebagai aktiviti bersenam tidak formal untuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, taman permainan kanak-kanak juga boleh menyebabkan bahaya dan risiko kecederaan sekiranya keselamatan tidak diberikan perhatian.

Peralatan di taman permainan yang rosak, tidak berkualiti, permukaan lantai yang tidak rata atau yang tidak sesuai, perbuatan atau kelakuan yang tidak patut akan mengundang kecederaan atau kemalangan kepada kanak-kanak. Kebanyakan kecederaan ini boleh dielakkan sekiranya ibu-bapa memberikan perhatian dan mengawasi anak-anak mereka ketika bermain. Berikut adalah beberapa panduan untuk mengelakkan kecederaan dan kemalangan di taman permainan.

Pengawasan ibu bapa.
Ibu bapa atau orang dewasa yang menemani kanak-kanak di taman permainan hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan alat permainan yang ingin dimain oleh kanak-kanak tersebut dalam keadaaan yang sempurna dan selamat. Mereke juga harus memastikan sama ada peralatan tersebut adalah sesuai mengikut umur kanak-kanak itu. Ibu bapa dan orang dewasa harus menasihatkan kanak- kanak tersebut supaya bermain dengan cara yang betul dan tidak menyalahgunakan alat permainan atau bermain dengan cara yang berbahaya. Mereka harus sedar bahawa kanak-kanak tidak dapat mengagak jarak dengan betul kerana penglihatan mereka tidak sebaik penglihatan dewasa. Kanak–kanak tidak dapat melihat bahaya yang disebabkan oleh sesuatu aktiviti yang mereka lakukan.Oleh itu , adalah tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak- anak mereka.

Contoh kemalangan yang boleh berlaku di taman permainan sekiranya taman permainan tersebut dibina tidak mengikut standard keselamatan yang ditetapkan. Pengawasan ibu bapa juga adalah perlu untuk mengelakkan sebarang kecederaan.

Rekabentuk yang selamat di taman permainan.
Faktor yang paling penting dalam menilai keselamatan di taman permainan adalah permukaan lantai yang selamat dan sesuai untuk jenis aktiviti, luas tempat bermain, pemeriksaan peralatan dan penyelenggaraan yang berterusan oleh pihak berkuasa.

Permukaan lantai.
Permukaan lantai di bawah alat permainan seperti gelongsor di taman haruslah lembut dan tebal supaya apabila kanak-kanak tersebut jatuh, permukaan tersebut dapat menahan impak tersebut dan mengurangkan kecederaan pada kanak-kanak. Permukaan lantai seperti konkrit dan tar arang batu yang dicampur dengan pasir adalah tidak sesuai. Permukaan lantai untuk bermain haruslah bebas daripada takungan air, batu, atau akar pokok kerana ia boleh menyebabkan kanak- anak tersebut terpijak dan terjatuh.

Ibu bapa dan orang dewasa juga harus memastikan bahawa permukaan tersebut bebas daripada serpihan-serpihan berbahaya seperti kaca atau cebisan aluminum yang boleh memotong kulit kanak- kanak. Kepngan getah atau tikar yang dibuat dari getah sesuai dijadikan sebagai permukaan lantai kerana ia adalah selamat dan juga amat sesuai digunakan oleh orang yang berkerusi roda. Permukaan pasir juga amat sesuai untuk kanak–kanak bermain kerana ia tidak akan menyebabkan kecederaan dan tahan impak.

Kawasan dan keluasan tempat bermain
Kawasan permainan untuk kanak-kanak haruslah tidak padat dan mempunyai keluasan yang sesuai. Sebagai contoh, tempat bermain seperti buaian haruslah diletakkan di tempat yang berasingan dan mempunyai keluasan yang cukup supaya buaian tersebut tidak melanggar kanak-kanak lain yang sedang bermain. Peralatan bermain seperti jongkang-jongkit mempunyai kawasan kecil dan sempit dan boleh menyebabkan kecederaan sekiranya kanak- kanak meletakkan tangan atau kaki dan sekiranya tersepit di celah-celah, ia boleh mengundang bahaya.

Contoh illustrasi yang diambil dari Malaysian Standard MS 966: PART 2: 2001yang menetapkan ukuran dan berat yang sesuai untuk buaian di taman permainan.

Pemeriksaan dan penyelenggaraan oleh pihak berkuasa dan penbuat.
Pihak pembuat/pengilang harus memberikan maklumat yang lengkap mengenai cara penyelengaraan kepada oihak berkuasa. Menurut Standard Malaysia MS 966: PART 2 : 2001, pihak tersebut harus menyatakan setiap langkah yang jelas dengan gambar sekiranya perlu untuk memudahkan proses penyelenggaraan. Setiap jenis permainan mempunyai tempoh penyelengaraan yang berbeza. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pemeriksaan dan penyelenggaraan memainkan peranan penting dalam memastikan peralatan bermain di taman permainan adalah selamat dan berkualiti.

Peralatan yang longgar, patah atau rosak haruslah dikeluarkan dengan serta-merta daripada taman permainan. Bahagian yang diperbuat daripada kayu haruslah dipastikan teguh dan tidak reput. Peralatan yang diperbuat daripada besi tidak harus berada dalan keadaan yang berkarat. Pagar atau tembok harus dibina di sekeliling taman permainan untuk mengelakkan kanak-kanak daripada berlari ke jalan raya. Permukaan lantai haruslah sentiasa dipastikan supaya berada dalam keadaan yang selamat dan tidak pecah atau retak. Taman permainan haruslah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan tidak dicemari oleh sampah sarap.

Pelabelan
Pembuat/ pengilang alat permainan di taman permainan hendaklah melabel alat-alat tersebut dengan butiran-butiran berikut:

  1. Nama dan alamat pengilang/ pembuat yang berdaftar
  2. Label atau tanda pengilang/pembuat
  3. Had untuk berat
  4. Tahun permainan dihasilkan
  5. Nombor dan tarikh MS 966: PART 2 : 2001

Keselamatan dan kebersihan taman permainan adalah tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri. Ibu bapa harus menasihati anak-anak mereka supaya menjaga keselamatan, cara bermain yang selamat dan juga mengajar mereka supaya menjaga kebersihan taman permainan, Kanak–kanak yang diajar daripada kecil juga akan menjadi pengguna yang lebih bertanggungjawab dan perkara negatif seperti vandalisme di taman permainan dan kawasan lain dapat dielakkan.

No comments:

Post a Comment