Wednesday, May 5, 2010

KESAN BURUK RUMPAI YANG BERTOLERANSI KEPADA RACUN RUMPAI

Gen daripada bakteria telah diekstrak dan dimasukkan ke dalam genom tanaman agar ia dapat mendegradasi racun rumpai. Ini menyebabkan racun tersebut tidak berkesan dan hanya membunuh rumpai atau tanaman di sekitarnya.

Tanaman ubah suai genetik yang bersifat toleransi dengan racun rumpai telah menggalakkan penggunaan racun rumpai dalam kalangan petani. Akibatnya, petani-petani dapat menyembur tanaman mereka dengan sewenang-wenangnya sepanjang masa dan terbuka kepada jenis racun rumpai yang lebih luas.
Menurut kajian sains kebangsaan Amerika Syarikat, akibat penggunaan racun rumpai yang berleluasa dalam tanaman ubah suai genetik, kini rumpai yang tumbuh itu juga menunjukkan toleransi kepada racun rumpai.

Sembilan spesis rumpai yang dijumpai telah menghasilkan keupayaan untuk bertoleransi dengan glifosat, kompenen utama dalam racun rumpai seperti Roundup yang dikeluarkan oleh Monsanto. Selain itu, dua jenis serangga perosak juga mempunyai ketahanan kepada toksik yang dihasilkan oleh tanaman ubah suai genetik: Bt corn dan Bt cotton.

Kewujudan rumpai dan serangga perosak yang kebal dengan racun rumpai dan toksik ini telah membimbangkan para saintis tentang kesan tanaman ubah suai genetik kepada alam sekitar. Saintis berpendapat bahawa kewujudan tanaman ubah suai genetik telah membawa kesan yang besar pada sistem ekologi bumi.

Sebagai contoh, penggunaan racun rumpai yang berlebihan dan tidak terkawal akan mencipta rumpai raksasa yang kebal daripada pelbagai racun. Ini akan mengganggu pertumbuhan semula jadi tanaman. Manakala, serangga perosak yang boleh bertoleransi dengan toksik pada tanaman akan menggalakkan penggunaan racun berlebihan sehingga membawa kepada pemusnahan makhluk yang lain.

Pengaruh tanaman ubah suai genetik dalam rantaian makanan boleh merosakkan ekologi tempatan, dan menyebabkan perubahan yang tidak dijangka kepada alam sekitar. Organisma-organisma baru yang tidak diingini ini akan bersaing dengan tanaman liar dan berkemungkinan tanaman liar ini akan pupus. Selain itu, apabila gen bakteria dalam tanaman ini tersebar ke alam sekitar, sukar untuk mendapatkannya kembali. Ini boleh memberi kesan negatif yang tidak dapat diramalkan dalam jangka masa panjang.

Kesimpulannya, tanaman dan makanan yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik mempunyai risiko tinggi kepada kesihatan dan alam sekitar. Malah ia juga membawa kepada kemusnahan spesis semula jadi.

No comments:

Post a Comment