Wednesday, May 5, 2010

KEPENTINGAN PELABELAN EKO KEPADA PENGGUNA

Pelabelan eko boleh didefinisikan melalui beberapa cara. Ia merupakan satu sistem pelabelan untuk barangan pengguna untuk menunjukkan bahawa produk tersebut adalah mesra alam, dihasilkan melalui barangan yang boleh atau yang telah dikitar semula ataupun satu produk yang dihasilkan tanpa menyebabkan sebarang kesan negatif kepada alam sekitar.

Pelabelan Eko adalah suatu sistem pelabelan untuk barangan pengguna (termasuk makanan) yang dihasilkan untuk mengelakkan kesan berbahaya terhadap alam – sekitar. Sistem pelabelan Eko terdapat untuk kedua- dua makanan dan juga barangan pengguna.


Pelabelan Eko memudahkan pengguna untuk memilih “green products”. Ia juga merupakan suatu skim sukarela yang ditubuhkan untuk menggalakkan sektor perniagaan supaya menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang mesra alam. Label ini juga dapat membantu para pengguna supaya mengenal pasti barangan yang mesra alam. Sebagai contoh, penggunaan pelabelan eko dapat digunakan untuk barangan yang tidak mengandungi klorofluorokarbon (CFC). CFC adalah bahan yang dapat merosakkan lapisan ozon. Pelabelan Eko juga terdapat pada barangan yang boleh dikitar semula, dan juga barangan yang mempunyai pengguna tenaga yang efisien atau menjimatkan tenaga.

Rajah 1: Label produk tidak mengandungi kluorofluorokarbon (CFC)


Di Malaysia, kita memerlukan minyak yang banyak untuk menghasilkan tenaga dan untuk kegunaan kenderaan. Barangan pengguna di rumah yang paling banyak menggunakan tenaga adalah peti sejuk. Suruhanjaya Tenaga di Malaysia telah membangunkan skim pelabelan penggunaan tenaga elektrik. (Rajah 1). Kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk contohnya disahkan dengan menggunakan kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga. Penilaian Tenaga Bertaraf 5 bintang menunjukkan penjimatan tenaga yang paling tinggi.

Rajah 2: Label kecekapan penggunaan tenaga

Kitar semula adalah suatu langkah yang dapat menjimatkan sumber semula jadi, mengurangkan pembaziran dan pencemaran alam sekitar. Salah satu daripadanya adalah kitar semula plastik. Label kitar semula dapat membantu pengguna dan pihak pengurusan sampah untuk mengasingkan plastik untuk dikitar semula.

Rajah 3: Label Kitar Semula


Rajah 4: Label kitar semula 7 jenis plastik


Isu – isu penting

Berdasarkan satu kajian lestari oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan serta FOMCA, hanya 5.3% daripada 1,000 orang responden telah dapat mengenal pasti label kecekapan tenaga. Selain itu, 88.2% daripada keseluruhan responden dapat mengenali label kitar semula tetapi mereka tidak tahu bahawa terdapat 7 jenis plastik yang boleh dikitar semula.

Isu pemanasan global dan perubahan cuaca dunia semakin hangat diperkatakan. Maka, usaha untuk mengalakkan penggunaan tenaga yang cekap dijalankan dalam kalangan pelajar sekolah amat penting dan harus juga diserapkan kepada orang awam. Pelabelan dan penilaian ketepatan memainkan peranan yang penting untuk memastikan para pengguna yang menyokong pasaran untuk produk mesra alam dilindungi.

Peranan Pengguna

Untuk memastikan program pelabelan eko ini berjaya, pengetahuan, pendekatan dan permintaan daripada pengguna memainkan peranan yang sangat penting. Pengguna harus mempunyai kepercayaan terhadap tuntutan yang dibuat oleh pengeluar produk tersebut seperti yang dituntut dalam pelabelan eko. Tetapi perkara ini memang tidak boleh dicapai dengan masa yang cepat. Kepercayaan pengguna terhadap tuntutan seperti pelabelan eko memang akan mengambil masa. Satu perkara penting yang harus diutamakan dalam pelabelan eko ini adalah untuk memastikan maklumat mengenai label eko dan pensijilan produk tersebut disampaikan kepada pengguna secara efektif.

No comments:

Post a Comment